BUAH BACANG KAMPUNG SEBERANG
Iman Ilhami
Abi hanya tersenyum. Senyuman tulus daripada seorang lelaki yang telah
bersusah payah membesarkanku seorang diri. Biarpun aku kemarau kasih sayang dan belaian seorang ibu, namun abi tak pernah membiarkan kekosongan itu mengganggu jiwaku. Dialah ibu dan dialah ayah. Segalanya dilakukan sendirian demi kebahagiaanku.
Sewaktu kecil, tatkala aku menangis kerana terlalu rindukan arwah umi, akan abi dodoikan aku dengan selawat memuji Ilahi sambil membawa aku ke hadapan cermin. Diciumnya pipiku sambil berkata “Umi ada di depanmu, sayang,” pujuk abi. Katanya lagi, wajahku saling tak tumpah dengan arwah umi dan kata-kata itu ternyata benar. Raut wajah kami seiras. Tahi lalat di pipi kanan itu menjadi tanda. Walaupun aku hanya mengenali umi melalui gambar-gambarnya namun aku dapat merasakan yang arwah umi dekat dengan diriku.
Arwah umi merupakan seorang guru dan kini aku juga mulai mengikut jejak langkahnya menjadi guru biarpun hanya sebagai seorang guru tadika. Abi adalah orang pertama yang aku sampaikan berita gembira ini. Manik-manik jernih yang mengalir di pipi tuanya itu membuatkan hatiku tersentuh. Aku tahu dia gembira dan tiada apa yang dapat memberi ketenangan bagiku melainkan melihat lelaki ini gembira. Inilah hadiah aku untuknya.
“Lepas ini, Iman tak dapatlah teman abi minum kopi lagi tiap-tiap malam,” luah aku pada malam sebelum berangkat untuk memulakan tugasku sebagai guru. Aku bercerita akan kegusaranku tatkala pertama kali mahu meninggalkannya seorang diri di kampung. Namun, gusar aku itu dibalasnya dengan nasihat yang amat menyentuh hati.
“Iman faham, bukan?” soal abi perlahan.
“Tanggungjawab sebagai seorang guru ini amat besar. Abi tak mahu Iman sia-siakan peluang ini. Buktikan kepada semua orang yang Iman mampu menjadi seperti arwah umi,” nasihat abi lembut.
“Arwah umi amat disayangi oleh pelajar-pelajarnya dan dia adalah seorang guru yang amat dedikasi, sayang. Berusahalah, nak,” luah abi lagi malam itu.
Usai solat Isyak, sambil meneguk secangkir kopi yang menjadi kegemarannya, pastinya akulah yang menjadi peneman setia abi setiap malam. Tuturnya tak pernah meninggi. Cerita-ceritanya tak pernah menjemukan. Lembut tutur katanya diserikan dengan senyum yang tak pernah lekang. Itulah abi, pendorong utamaku setelah pemergian umi.
“Abi bangga dengan Iman dan abi mahu Iman menjadi seorang guru yang terhebat,” luahnya.
“Tentang abi, janganlah Iman risau, Mak Long Hajar kan ada. Dia boleh tengokkan abi di sini. Wafiy dan Hafiy pun ada sama. Si kembar itu tentu tak menolak kalau abi minta apa-apa pertolongan,” pujuk abi seakan memahami.
“Sudahlah, jangan difikirkan semua itu ya, nak,” pujuknya lagi. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk sebelum aku memeluk abi seerat yang mungkin.
Lantai anjung itu aku hamparkan dengan tikar mengkuang yang ku beli di pasar pagi. Amit, muridku yang bertubuh kecil itulah yang membantu menjinjingnya hingga sampai ke rumah sewaku.
“Cantik kan, Ami?” ujarku sambil memandangnya.
Anak kecil berbaju kusam dan berseluar lusuh itu hanya menggangguk sambil tersenyum. Raut wajahnya yang tenang itu kadangkala menampakkan lesung pipit di pipinya. Tatkala dia mahu pulang, lantas ku panggil namanya.
“Amit, mari sini sekejap,” pintaku.
“Ini untuk Amit sebab bantu cikgu bawa pulang barang-barang ini,” ucap aku sambil menghulurkan sebungkus biskut coklat kepadanya. Lantas dia tersenyum girang.
“Terima kasih, cikgu,” ucapnya seraya mengucup tanganku.
“Makan jangan lupa baca Bismillah,” pesanku lagi dan Amit seperti selalu hanya tersenyum sambil menggangguk malu.
***
Lucu rasanya bila ku kenang kembali tatkala hari pertama aku sampai di Kampung Seberang ini. Terperanjat aku apabila pertama kali menjumpai Amit yang sedang tidur bersandar pada sebuah gerobok usang di anjung rumah sewaku. Belum sempat aku cuba mengejutkannya, aku sendiri pula yang terkejut apabila dia dengan tiba-tiba membuka mata lalu menjerit sebelum lari lintang pukang dari rumah sewaku itu. Aku dan Cikgu Zalina memandang antara satu sama lain kerana terlalu terkejut sebelum derai tawa kami pecah tiba-tiba pada petang nan redup itu.
Cikgu Zalina memberitahu aku bahawa budak itu adalah Amit. Tidak ku sangka rupa-rupanya anak kecil yang sedang tidur di anjung rumahku itu adalah Amit yang kini amat rapat denganku. Aku sendiri gembira dengan perubahannya. Dulu dia amat pendiam. Mungkin khayal dengan dunia ciptaannya sendiri. Dia juga tidak memiliki kawan-kawan. Mungkin berasa rendah diri lantaran kemiskinan yang membelenggu dirinya. Jarang sekali pertanyaanku dijawab sebaliknya dibalas dengan anggukkan ataupun gelengan kepala. Jarang aku berpeluang untuk melihat lesung pipitnya yang manis itu.
Tapi, itu semua dahulu. Kini, Amit sudah berubah. Sudah pun petah bercakap. Sudah kenal ABC malah sudah mampu mengira berbanding sebelumnya. Malahan, lebih pantas dari murid lain. Cikgu Zalina selaku penyelia tadika pun turut kagum. Aku apatah lagi. Senyum meleret hingga ke telinga. Ah, itu bukan usaha aku semata. Guru-guru tadika yang lain turut membantu. Cikgu Aini dan Cikgu Zalina sendiri banyak memberi bantuan.
***
“Kau busuk, kau hodoh, kau budak miskin”. Aku dengar ayat itu diulang berkali-kali sambil diiringi hilai tawa kanak-kanak. Aku yang sedang mengagihkan sarapan roti kaya pada pagi itu tersentak. Siapa yang busuk, siapa yang hodoh? Aku berkira-kira sendiri. Aku lantas menuju ke arah suara itu yang ku kira datangnya daripada belakang tandas.
Namun, belum sempat aku sampai, suara itu menyepi. Diam. Sunyi. Aku sedikit kebingungan. Kemanakah perginya suara tadi? Ah, ini mesti kerja Saiful. Aku yakin dialah empunya suara tersebut. Pelatnya masih kedengaran. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ah, budak-budak ini, tiada tempat lainkah kalaupun mahu bermain? Masakan belakang tandas dijadikan tempat untuk bermain. Aku mengomel sendirian.
Setelah puas meninjau dan berpuas hati, aku tuntas berpusing untuk meneruskan kerja-kerjaku sebelum dengan tiba-tiba, aku terdengar bunyi ranting-ranting dipatahkan oleh seseorang. “Siapa pula ini.” desis hati kecilku. Bila ku lihat di belakang tandas, aku temui Amit sedang bersandar pada dinding tandas sambil menangis. Aku sedikit kaget. Lantas aku pujuk dirinya namun dia tetap jua mendiamkan diri. Aku pegang tangannya dan kusapu sisa-sisa pasir di tapak tangannya.
“Amit menangis, ya?” lembut aku bertanya.
“Mari sini dekat cikgu,” arahku sambil memimpin tangannya lalu aku membawanya duduk di bangku batu di bawah pokok ketapang.
“Saiful ejek Amit lagi?” aku menyoal.
Amit mengangguk lemah. Matanya masih digenangi air mata dan aku lantas menyeka ia dari terus mengalir. Ku genggam tangannya erat-erat.
“Amit dah makan? Mari cikgu sediakan roti kaya dan air milo untuk Amit. Mahu?” aku cuba memujuk.
Wajah mulusnya itu aku pandang. Di mengukir senyum. Aku segera memimpin tangannya dan terus membawanya menuju ke kantin.
***
“Cikgu Zalina, izinkan saya bertanya sesuatu?” luah aku pada suatu petang ketika kami sedang berjalan pulang ke rumah.
“Ada apa Cikgu Iman, apa yang saya boleh bantu cikgu?” balas Cikgu Zalina sambil mengukir senyuman.
“Begini cikgu, saya lihat Amit sering menyendiri dan dia juga sering dibuli oleh murid-murid lain. Mungkin ada sesuatu yang saya tidak tahu mengenai dia, cikgu?” aku bertanya laksana mata-mata gelap.
Cikgu Zalina menghela nafas panjang. Lama dia terdiam. “Amit itu anak yatim piatu, Cikgu Iman,” jawab Cikgu Zalina.
“Ibu bapanya meninggal sejak di berumur dua tahun lagi. Sekarang dia tinggal dengan neneknya di hujung kampung,” jelasnya lagi.
“Di hujung kampung kita ini?” aku meminta kepastian.
“Benar cikgu, di hujung Kampung Seberang ini. Kalau saya tidak silap, di sekeliling rumahnya ada banyak pokok bacang,” jelas Cikgu Zalina.
“Kenapa cikgu tanya tentang Amit?” soal Cikgu Zalina pula.
“Tiada apa-apa cikgu, saya cuma kasihan melihat dia,” luahku.
“Pihak KEMAS juga ada membantu dia, cikgu. Namanya pun sudah ada dalam senarai penerima bantuan dana pendidikan. Kita hanya menunggu surat pengesahan penerimaan bantuan sahaja lagi. Janganlah cikgu risau,” jelas Cikgu Zalina yang seperti memahami kegusaran yang melanda hatiku saat itu.
***
Aku yang sedang leka menyusun buku yang berselerak sebelum pulang ke rumah terkejut apabila melihat Amit tiba-tiba sahaja muncul dan berdiri tegak di muka pintu darjah. Lalu aku senyum padanya dan lantas memanggilnya masuk dan menyuruh dia duduk di tepiku.
“Amit belum pulang, ya?” aku menyoal.
Dia yang pada mulanya hanya menunduk terus mengangkat muka memandang aku sambil menggeleng lemah.
“Nanti Amit pulang sama cikgu, ya?” aku memberi cadangan.
Amit kelu tidak menjawab. Aku hanya tersenyum dan belum sempat aku berkata apa-apa dia tuntas bangun dan terus mengambil buku-buku yang ada di hadapan kami lalu disusunnya kembali di rak tanpa disuruh. Aku terpempan. Ku pandang anak kecil berusia enam tahun itu seluruhnya.
“Terima kasih, Amit,” puji aku setelah dia selesai menyusun buku.
“Cikgu bangga mempunyai murid yang rajin seperti Amit. Kalau kita rajin, orang akan sayang. Amit ingat pesan cikgu, ya,” jelas aku.
Amit hanya memandang sambil matanya berkelip-kelip.
“Amit sudah makan?” soalku lagi bila melihat dia mendiamkan diri.
Kulihat dia geleng sahaja.
“Nah, ini ada roti. Amit makan, ya,” pelawa aku.
Lalu aku buka sebungkus roti Gardenia untuknya. Ingin aku menyuapnya tapi dia menolak dengan baik dan mengatakan mahu makan sendiri.
“Makan ya. Nanti kita pulang sama-sama,” aku memberi arahan.
Amit senyum. Manis sungguh senyumnya. Wajah kudus itu bersih. Tenang hatiku bila kulihat wajahnya. Dalam hati aku berdoa agar anak kecil ini akan menjadi seorang yang berjaya kelak.
“Eh, hari pun sudah hampir petang ini. Mari cikgu hantar Amit pulang,” aku mengajaknya pulang. Kami berjalan beriringan.
“Wah, sudah lama cikgu tak rasa macam ni. Kemudian dapat menghirup udara segar pula. Hilang segala tekanan, kan Amit?” aku memulakan perbualan setelah kulihat Amit membisu sambil tangannya menarik-narik hujung baju kusamnya.
“Cikgu..” Amit tiba-tiba bersuara. Perlahan.
“Amit ni busuk dan hodoh kan, cikgu?” luah Amit.
Aku lantas meletakkan jari telunjukku di bibir munggilnya.
“Amit ni miskin. Semua orang tak mahu kawan dengan Amit. Semua orang benci Amit. Mereka selalu ejek Amit,” nadanya kedengaran sebak.
Ku lihat kelopak matanya mulai bergenang dengan manik-manik jernih yang hanya menanti masa untuk berderai.
“Tadi, cikgu bilang, kalau Amit baik, semua orang sayang. Tapi, kenapa semua orang benci Amit, ejek Amit?” Amit diam.
“Amit...” aku bersuara lemah. Aku gamam. Tidak tahu bagaimana untuk memberi jawapan yang tepat kepadanya.
Aku pegang tangannya. Terasa hangat.
“Amit anak murid cikgu yang paling baik. Cikgu sayang Amit. Semua orang sayang Amit. Amit kena sabar,” jawabku.
“Amit tahukan Allah S.W.T. amat sayang dengan orang yang sabar. Amit tentu kenal dengan Nabi Muhammad S.A.W. Baginda pun sering dihina seperti Amit tapi baginda tidak langsung pernah berputus asa,” aku bercerita tentang kisah Rasulullah S.A.W. sama seperti abi menasihati aku tatkala aku kecil dahulu.
“Amit kena kuat. Allah amat sayang akan orang-orang yang kuat,” nasihat aku.
“Amit pandai sembahyang kan?” dia mengangguk.
“Nenek yang ajar,” jelasnya kepada aku.
“Bagus Amit. Nanti bila selesai solat, Amit kena selalu berdoa pada Allah ya,” puji aku sambil menitipkan nasihat buat Amit.
“Baik cikgu!” balasnya kembali bersemangat.
Senyumnya mula terukir. Keriangan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak berbaju kemeja biru kotak-kotak ini.
“Cikgu, Amit ingat, Amit nak tukar namalah. Amit tak suka kawan-kawan ejek Amit, Amit busuk, Amit hodoh, Amit nak letak nama Mawi, boleh?” pinta Amit lagi.
Aku senyum lalu mencubit pipinya.
“Amit..Amit,” aku bersuara sambil menggeleng kepala.
“Amit, cikgu suka dengan nama Amit, cantik nama tu. Nama penuh Amit pun cikgu suka. Amirul Mukminin. Amit tahu tak apa maksud nama Amit?” soal aku.
“Apa maksud nama Amit, cikgu? dia tidak sabar-sabar bertanya.
“Maksudnya adalah seorang ketua atau pemimpin. Seorang ketua yang baik dan pemimpin yang kuat semanga,” jelasku aku lagi. Amit tampak gembira. Kembang kempis hidungnya menahan suka.
“Tapi Amit, sebelum itu, boleh cikgu bertanya sesuatu? Kenapa orang panggil Amit bukan Amir atau Amirul,” soal ku meminta kepastian.
“Amit tak tahu cikgu. Nenek yang selalu panggil Amit,” jelas Amit
“Nama Amit sedap ya, cikgu?” tanya dia lagi.
“Iya,” balasku sambil mengukir senyuman.
“Jangan tukarlah. Nanti kalau Amit tukar nama kepada Mawi, Amit kena buat satu lagi perkara,” aku memberi penjelasan.
“Apa dia cikgu?” soal Amit kembali.
“Amit pun kena botakkan kepala sama macam Mawi. Mahu?” balasku sambil tertawa suka.
“Eei, botak? Tak mahulah. Macam askar. Amit tak mahu jadi askar. Amit nak jadi doktor,” lalu tawanya pecah berderai pada petang yang redup itu.
Aku mengelengkan kepala. Tiba di suatu simpang, Amit pantas menarik tanganku dan mengucupnya lantas berlari pulang sambil melambai. Eh, budak ni, belum sempat aku mahu memanggilnya, kelibatnya terus hilang di celah-celah pepohon pisang. Macam tahu-tahu sahaja aku mahu ke rumahnya. Aku sebenarnya bercadang mahu menziarahi neneknya. Ah, tak mengapalah, hari pun sudah mengenjak petang. Mungkin esok atau lusa aku boleh ke sana.
***
“Baiklah murid-murid, hari ini cikgu nak tanya kamu semua, apa cita-cita kamu bila besar nanti. Boleh kongsi dengan cikgu?” ucapku pada pagi Isnin itu.
Kulihat ramai yang memberi kerjasama. Masing-masing mahu memberitahu cita-cita masing-masing. Riuh rendah kelas pagi itu. Aku panggil setiap seorang ke hadapan untuk memberitahu cita-cita masing-masing. Firdaus mahu jadi guru. Begitu juga dengan Saidatul. Aku puji mereka dan berkata bahawa tugas guru ini mulia. Kelihatan kedua-duanya amat bersemangat.
Murid-murid lain pula ada yang mahu menjadi pegawai polis, anggota tentera, ahli bomba, ahli perniagaan, peguam dan juga doktor. “Ah, kanak-kanak tadika, cita-cita mereka lebih kurang sama sahaja,” getusku dalam hati.
Tiba giliran Amit, kelas tiba-tiba diam. Apabila Amit memberitahu yang dia mahu menjadi doktor apabila dewasa kelak, seluruh kelas tiba-tiba ketawa. Saiful seperti biasa, mengejek Amit. Katanya, Amit orang miskin, bajunya buruk dan hodoh. Tidak layak untuk menjadi doktor. Kelas terus riuh dengan tawa. Tawa mengejek. Kulihat Amit mula tunduk dan dadanya turut berombak. Aku tahu dia menangis.
Aku mengetuk meja beberapa kali dengan pembaris panjang berwarna kuning. Kelas senyap seperti dilanggar garuda. Aku menghela nafas panjang terlebih dahulu.
“Cikgu tidak mahu kamu semua menghina orang susah. Cikgu tak pernah ajar kamu semua untuk menghina orang lain,” nadaku sedikit meninggi.
“Jangan ulangi lagi. Cantik atau hodoh bukan ukuran kalau mahu menjadi doktor atau apa-apa sahaja pekerjaan. Paling penting adalah mesti belajar bersungguh-sungguh,” terangku satu persatu kepada mereka.
Aku merenung wajah setiap orang pelajarku dalam-dalam.
“Baiklah, ingat pesan cikgu, jangan hina Amit lagi, dia anak yatim piatu, tiada ibu dan ayah,” jelasku lagi dengan harapan mereka semua memahami.
Ku suruh Amit pulang ke tempat duduknya.
“Saiful dan lain-lain, minta maaf daripada Amit,” arahku.
Mereka bersalaman. Aku menggeleng kepala. Kanak-kanak tadika biarpun belum cukup matang, aku mesti mendidik dan menasihati mereka dengan sebaik-baiknya. Dari usia beginilah, mereka harus diterapkan dengan nilai-nilai kebaikan agar kelak mereka mampu untuk menangkis segala cabaran dunia globalisasi yang amat mencabar kini. Bukan niatku untuk memarahi mereka. Tiada langsung.
Benarlah kata abi, tanggungjawab sebagai seorang guru amat berat. Guru bukan sahaja berperanan untuk mengajar membaca, menulis, mengira malah guru jugalah yang bertanggungjawab mendidik murid-murid dengan akhlak dan nilai moral yang sejati.
***
“Cikgu Iman, ada pelawat mahu berjumpa,” beritahu Cikgu Aini.
“Di mana, cikgu?” soalku.
“Dia ada di bilik tamu, cikgu,” balasnya.
“Terima kasih, cikgu,” ucapku lagi.
“Terima kasih kembali,” Balas Cikgu Aini sambil menguntumkan senyuman.
Hatiku bergetar. Inilah pertama kali aku menerima pelawat sejak mula bertugas di sini sejak lima bulan lalu. Aku berkira-kira sendirian tentang siapakah orangnya. Ada apa-apa yang telah berlakukah? Rasa curiga ku lempar jauh-jauh.
Tiba di bilik tamu, kulihat ada seorang wanita berbaju kurung biru muda bertudung kuning sedang duduk di atas sofa. Lantas aku memberi salam. Aku memperkenalkan diriku.
Setelah itu, barulah aku tahu yang dia adalah Puan Rosmawati, ibu kepada Saiful. Dia mahu berjumpa denganku kerana Saiful mengadu padanya yang aku kini tidak lagi menyayanginya dan sentiasa memberi tumpuan kepada Amit.
Aku terkesima. Sebak mula memerangkap dadaku. Tidak ku jangka hingga ke tahap ini, perkara ini terjadi. Namun, aku cepat-cepat sedar. Aku tidak seharusnya terbuai dengan rasa sedih. Ku terangkan kepada ibu Saiful satu persatu tentang apa sebenarnya yang berlaku.
Secara jujurnya, tidak dapat aku katakan dengan kata-kata betapa aku amat menyayangi semua anak muridku tidak ubah seperti anak kandungku sendiri. Selepas itu, tatkala dalam kelas, aku terangkan kepada mereka semua, bahawa aku menyayangi mereka dengan sepenuh hatiku.
“Cikgu sayang kamu semua, kaya atau miskin semua cikgu sayang,” berulang kali aku ucapkan kata-kata itu dengan air mata bergenangan dengan harapan anak-anak kecil itu faham apa sebenarnya yang terbuku di hati ini.
Tengah hari itu, setelah kelas berakhir, Amit datang menghampiriku.
“Cikgu, jangan nangis lagi ya. Amit tak happy tengok cikgu nangis,” luahnya. Aku senyum padanya sambil menganggukkan kepala tanda setuju.
***
Hari ini iaitu 16 Mei 2006 merupakan sambutan hari guru yang pertama bagi diriku semenjak bergelar guru. Terharu rasanya apabila diraikan sebegini rupa. Ramai anak muridku yang memberi hadiah. Berwarna-warni kotaknya. Ada yang berwarna biru, merah dan hijau. Ada yang kecil dan ada yang besar. Saiful pula memberi aku sekuntum bunga mawar. Aku gembira menerimanya. Besar ataupun kecil, murah ataupun mahal bukanlah menjadi ukuran. Aku terharu dengan ingatan mereka. Hanya ucapan terima kasih yang dapat aku ucapkan kepada mereka semua sambil mencium pipi mereka.
Beberapa hari sebelum sambutan ini, aku sudah berpesan kepada mereka supaya tidak memberi apa-apa hadiah kepadaku kerana aku sendiri faham kedudukan mereka. Apa yang aku mahukan adalah mereka mestilah belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kejayaan yang cemerlang serta menjadi insan yang berjaya kelak. Itu sudah menjadi hadiah yang teristimewa buat diriku.
Aku turut terharu apabila ada juga dalam kalangan ibu bapa yang datang dan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepadaku kerana aku juga telah terpilih menerima Hadiah Guru Dedikasi peringkat daerah pada tahun ini. Aku amat bersyukur dengan segalanya.
Dalam meraikan kejayaan itu, aku mencari-cari Amit. Sejak pagi tadi, aku belum melihat kelibatnya. Sakitkah dia atau merajukkah dia? Desis hatiku sendirian.
Hingga tamat majlis, kelibatnya masih belum timbul. Aku berkira-kira untuk ke rumahnya sahaja selepas ini. Sudah lama tidak bertemu dengan Nek Wan. Rindu pula pada gulai ikan talang hasil tangannya. Bolehlah aku minta Nek Wan masakkan lagi untuk aku bagi meraikan kejayaanku ini.
Sedang aku leka mengemas untuk pulang, Amit muncul di depan muka pintu. Kulihat lututnya ada kesan luka. Mukanya merah padam seperti orang baru lepas berlumba lari.
Belum sempat aku bertanya apa-apa, dia meminta aku menutup mata. Dia lantas menarik aku ke luar kelas sambil menuju ke bangku di bawah pokok ketapang di halaman tadika. Aku hanya menurut. Dia menyuruh aku duduk di bangku tersebut.
Setelah itu, Amit menyuruh aku membuka mata. Aku terpempan. Di hadapanku terdapat sebuah beg plastik putih yang aku tidak tahu apa isinya. Aku bertanya kepada Amit akan kandungan beg tersebut namun pertanyaanku itu hanya dibalas dengan senyuman manis.
Gumpalan kertas surat khabar yang terdapat di dalam beg plastik putih itu aku buka perlahan-lahan. Seketika kemudian, manik-manik jernih yang hangat berjurai turun di pipiku. Sungguh luhur hati anak kecil ini. Keikhlasannya amat menyentuh jiwaku. Aku tidak dapat berkata apa.
Melihat aku terdiam, Amit bersuara perlahan.
“Amit tak ada duit nak belikan cikgu hadiah, jadi Amit kait buah bacang ini untuk beri pada cikgu,” jelas Amit.
“Tadi, Amit nak datang awal tapi tengah jalan Amit terjatuh, habis buah bacang masuk dalam parit. Amit takut cikgu marah sebab tiada hadiah, jadi Amit pergi kait semula. Amit minta maaf cikgu,” terang Amit lagi satu persatu.
Aku menggeleng perlahan. Sebak dadaku kian meninggi. Pemberian ini amat bermakna bagiku. Biarpun hanyalah beberapa biji buah bacang, keikhlasan yang Amit tunjukkan benar-benar memberi kesan pada diriku.
“Terima kasih, Amit,” ucapku.
“Cikgu suka dengan hadiah ini,” balasku lagi.
“Cikgu suka sangat,” aku menangis dan Amit ku peluk erat-erat.
Ku usap kepala anak kecil yang tidak pernah menerima kasih sayang ibu bapa itu dengan penuh kasih. Jauh di sudut hati, aku cukup bangga dengan sifat jujur dan ikhlas yang tertanam dalam diri anak kecil ini. Semoga ia berkekalan dan membawa kejayaan yang besar buatnya kelak. Ku rangkul tubuh kecil itu seeratnya. Ku lihat kali ini dia pun turut menangis dan tangisannya ini bukan lagi kerana sedih tapi tangisan gembira. Amit, anak kecil yang telah mengajar aku erti sebenar kehidupan.
Ya Allah. Aku bersyukur dengan kurniaan ini. Ku mohon pada-Mu agar dikuatkan iman dan semangatku dalam mendidik anak-anak bangsa. Amin.
Aku memandang jauh ke hadapan. Satu kepastian menjelma dalam perjuangan aku. Abi, Iman kini sudah mengerti...
nota kaki : gua punya tugasan maa!
Labels: Cerpen